MoU wakil kerajaan dan pembangkang perlu inklusif, tiada pihak terpinggir - Penganalisis
Fareez Azman
September 13, 2021 12:55 MYT
September 13, 2021 12:55 MYT
KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani pada petang ini antara wakil pembangkang dan kerajaan perlu bersifat inklusif.
Menurut penganalisis politik, Romzi Ationg, ia bagi memastikan tiada pihak terpinggir dalam usaha memulihkan negara.
"Saya melihat MoU bipartisan bersifat lebih inklusif. Kita tidak boleh memberi ruang kepada pihak tertentu rasa dipinggirkan.
"Saya rasa walaupun demikian, kita berharap MoU ini akan menyebabkan semua pihak beranggapan ini adalah usaha memulihkan negara ini," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Mengulas mengenai parti Warisan dan Pejuang yang tidak terlibat dalam MoU tersebut, jelas Romzi, beliau yakin bahawa, akan sampai waktunya, kematangan politik akan ditonjolkan kedua-dua parti itu demi pemulihan negara.
"Saya yakin dengan pengalaman dan kematangan pihak tertentu parti Warisan dan Pejuang, isu rasa terpinggir itu tidak akan menonjol.
"Saya berkeyakinan pada ketika ini mereka masih bersikap menunggu apa berlaku seterusnya, sebelum melakukan sesuatu tuntutan. Saya rasa itu adalah wajar ketika (dua parti itu) tidak terlibat dalam perjanjian yang ditandatangani pada petang ini," jelasnya lagi.
Terdahulu, wakil kerajaan dan Pakatan Harapan dijadualkan akan memuktamadkan satu memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak.
MoU itu dijangka ditandatangani kira-kira jam 5 petang ini di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua-Ketua Parti Pakatan Harapan iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
#Anwar Ibrahim
#Astro Awani
#DAP
#ismail sabri yaakob
#Lim Guan Eng
#Malaysia
#Mohamad Sabu
#MoU
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pembangkang
#Perdana Menteri
#PKR
#Warisan
#Amanah