MoU Transformasi: RUU Anti-Lompat Parti, had tempoh Perdana Menteri antara dipersetujui
Firdaus Azil
September 14, 2021 15:32 MYT
September 14, 2021 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang berkenaan Anti-Lompat Parti akan dibentangkan serta diluluskan di Parlimen mengikut Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang berkaitan.
Menerusi Memorandu Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang diterbitkan hari ini, ia merupakan antara perkara yang digariskan dalam Transformasi Kedua iaitu Transformasi Pentadbiran.
Selain itu, MoU berkenaan akan memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempercepatkan tindakan untuk pelaksanaan pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilihan.
“...ini termasuk memperhalusi pengecualian kepada Raja Memerintah, Waris Takhta, dan Tuan Yang Di-Pertua Negeri termasuk pasangan masing-masing,” menurut MoU itu lagi.
Enam perkara yang dipersetujui kerajaan dan pembangkang selain Transformasi Pentadbiran ialah - Pemerkasaan Pelan COVID-19; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.
MoU bersejarah itu telah ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, manakala Pembangkang diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden Amanah) dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Presiden UPKO.
MoU berkenaan turut menyatakan persetujuan kedua-dua pihak untuk membentang dan meluluskan RUU Pindaan Perlembagaan, khusus bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri untuk tidak melebihi 10 tahun.
Kesemua RUU ini, menurut dokumen terbabit, perlu dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 (Tahun 2022).