MoU Transformasi: Pejuang enggan terlibat perjanjian dengan kerajaan - Tun M
Abd Hadi Che Awang
September 18, 2021 14:20 MYT
September 18, 2021 14:20 MYT
LANGKAWI: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kekal dengan pendirian untuk tidak terlibat dalam mana-mana perjanjian termasuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan yang menawarkan pulangan tertentu kepada kedua-dua belah pihak atau "quid pro quo".
Menurut Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, tindakan itu bertentangan dengan pendirian Pejuang untuk tidak memihak kepada mana-mana gabungan selain perbuatan berkenaan kelihatan seolah-olah mempunyai unsur rasuah.
Jelasnya, parti pembangkang sewajarnya diberi kebebasan dalam membuat sebarang teguran terhadap kerajaan berteraskan amalan demokrasi yang diamalkan sejak sekian lama dan tidak wajar ‘terikat’ dengan sebarang perjanjian atau MoU.
"Kita dapati bahawa kalau kita ambil bahagian kerana kita dapat pulangan tertentu… itu bagi kita tak sesuai kerana kita nampak seolah ada unsur rasuah di situ.
“Kami akan sokong kalau kamu bagi sekian kepada kami, itu kami tidak boleh terima, kalau nak bagi, bagi kepada semua, jangan pilih orang yang berjanji untuk sokong sahaja.
"Atas sebab itu pihak Pejuang telah buat keputusan tidak akan terlibat (dengan MoU yang ditawarkan), kita akan (kekal) bebas dan kita akan jadi pembangkang selain tidak ada perjanjian dengan kerajaan untuk ‘quid pro quo’ (iaitu jika) kita bagi (sesuatu), dia (kena) bagi (sesuatu), itu (perbutan yang) salah," tegas Ahli Parlimen Langkawi itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di The Danna, Langkawi pada Sabtu.
Pejuang enggan terlibat dengan MoU kerajaan
Terdahulu, veteran DAP, Lim Kit Siang menzahirkan harapan agar Parti Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, sokongan itu bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.
Pada 13 September lalu, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Dewan Bankuet, Parlimen.
MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.
Selain itu, tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
MoU tersebut disempurnakan Perdana Menteri bersama-sama pimpinan kanan PH iaitu Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut sama menandatangani MoU tersebut ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu serta Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.