MoU Teroka MajuBina, Sukses Dinamik sasar 1,000 pelatih dalam pelayaran persiaran
Astro Awani
Disember 29, 2023 08:30 MYT
Disember 29, 2023 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat Sukses Dinamik Enterprise memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Teroka MajuBina Sdn Bhd untuk membentuk kerjasama sinergi bagi membangunkan Royal Cruise Academy yang akan menyediakan tenaga kerja di dalam bidang pelayaran persiaran.
MoU itu membuka laluan kepada kerjasama dalam menyediakan latihan yang menyasarkan keperluan dalam dan luar negara yang dijangka mula beroperasi secara rasmi pada 1 Mac depan.
Menerusi usaha sama itu, Sukses Dinamik dan Teroka MajuBina menyasarkan untuk melatih kira-kira 1,000 individu di kapal layar persiaran yang dikenali sebagai M Cruise.
Pengoperasian kapal itu akan berpusat di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan.
Usaha itu adalah susulan permintaan yang tinggi daripada benua Eropah bagi kerjaya dalam sektor perkapalan, terutama dalam bidang persiaran.
Pada majlis memeterai MoU tersebut, Teroka MajuBina diwakili Pengerusinya, Datuk Mohd Isa Abu Kasim manakala Sukses Dinamik oleh Pengarahnya, D Sri Vigneswaran.
Mohd Isa berkata, ia adalah langkah penting kedua-dua syarikat itu ke arah menyokong industri pelayaran persiaran, bukan sahaja bagi memenuhi keperluan tempatan bahkan luar negara juga.
"Saya yakin dalam jangka panjang ia akan melengkapkan model bisnes kami yang bersandarkan kepada industri perkapalan hibrid," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pada masa sama, kerjasama itu bakal memberi wajah baharu kepada sektor pelancongan negara dan diangkat sebagai produk pelancongan baharu memandangkan setakat ini tidak ada kapal persiaran milik Malaysia.
Menurutnya, ia juga selari dengan hasrat Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang memerlukan lebih ramai pelaut tempatan menerokai potensi dan keperluan industri perkapalan di peringkat tempatan dan luar negara.
"Beliau (Loke) sebelum ini memaklumkan ketika ini negara hanya mempunyai kira-kira 60,000 pelaut yang mendaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan jumlah itu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan keperluan sebenar industri.
"Negara jiran termasuk Filipina dan Indonesia mempunyai pelaut yang ramai, malah tenaga mereka turut memenuhi keperluan industri perkapalan di luar negara," jelasnya.
Sementara itu, Sri Vigneswaran yakin bahawa kerjasama itu akan membawa nilai tambah yang tinggi kepada negara terutamanya dalam industri pelayaran persiaran.
“Malaysia ada banyak potensi untuk merancakkan lagi industri pelayaran persiaran, jadi usaha kami ini akan membawa hasil yang besar dalam jangka panjang, dengan menyediakan tenaga kerja yang mahir dan cukup untuk pasaran dalam negara dan luar negara," kata Mohd Isa.
Media sebelum ini melaporkan Teroka MajuBina sedang dalam perancangan untuk pembinaan kompleks Hybrid Shipyard di Tanjung Agas, Pekan, Pahang, yang dijangka beroperasi pada Jun 2025.