'MoU sudah dimeterai, kenapa lambat sangat nak usahakan enakmen anti lompat parti?'

Israr Khalid
November 23, 2021 03:37 MYT
Azalina berkata, jika Perlembagaan tidak dipinda dan undang-undang anti lompat parti masih belum diluluskan, dikhuatiri akan berlaku lagi kekacauan di negeri-negeri lain. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR: Usaha mewujudkan undang-undang anti lompat parti dalam pentadbiran peringkat persekutuan perlu disegerakan oleh kepimpinan pusat.
Tegas Datuk Seri Azalina Othman Said, ia sepatutnya digerakkan lebih awal lagi selepas kerajaan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang pada September tempoh hari.
Ahli Parlimen Pengerang itu yakin sokongan majoriti untuk meluluskan enakmen tersebut boleh diperoleh.
Namun beliau hairan mengapa perkara yang paling mustahak itu tidak didahulukan berbanding hal-hal lain, sehingga terjadinya konflik di Melaka.
“Tak ada masalah, memang bagus kita nak sama ratakan peruntukan kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, tapi isunya kenapa kita ‘delay’ (tangguh) dalam undang-undang lompat parti sampai berlakunya (kemelut) di Melaka? Siapa yang bertanggungjawab?
“Kenapa kita ‘delay’ dalam banyak perubahan yang kita boleh buat kalau MoU itu sudah ditandatangani? Takkanlah dua pertiga kita tak boleh dapat di Parlimen?”
Beliau tidak menolak cadangan untuk melanjutkan lagi perjanjian persefahaman tersebut, namun realitinya kepimpinan tertinggi perlu melihat semula keutamaan terhadap perkara-perkara yang terkandung di dalamnya.
Jika Perlembagaan tidak dipinda dan undang-undang itu masih belum diluluskan, beliau khuatir akan berlaku lagi kekacauan di negeri-negeri lain memandangkan perbuatan lompat parti masih tidak dilarang.
Azalina berkata demikian dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Dzulfitri Yusop pada Selasa. Tonton di sini:
MoU sudah dimeterai, kenapa lambat sangat untuk usahakan enakmen antilompat parti?, soal Azalina
Agenda AWANI: Rakyat dah meluat, sekat budaya ‘Lompat Si Katak, Lompat’
#Agenda Awani #MoU #Akta Anti Lompat Parti #Azalina Othman Said