MoU Peruntukan: Syarat seperti difikirkan Kerajaan, terserah Pembangkang terima atau tidak - Zahid

Umavathi Ramayah
September 15, 2024 17:40 MYT
Ahmad Zahid (dua, kanan) pada Perhimpunan Perwakilan MIC Kebangsaan Ke-78.
SHAH ALAM: Kerajaan menyerahkan kepada Pembangkang sepenuhnya untuk membuat ketetapan berhubung dua draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Ringkasan AI
  • Kerajaan menyerahkan kepada Pembangkang untuk membuat ketetapan berhubung dua draf cadangan MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN). PN menolak draf tersebut atas sebab-sebab fundamental.
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa kandungan dan syarat MoU adalah mengikut apa yang difikirkan oleh kerajaan MADANI dan tidak akan berubah daripada kandungan asal.
  • Dengan sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen, kerajaan tidak memerlukan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) seperti yang diperlukan semasa pentadbiran terdahulu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, kandungan dan beberapa syarat yang ditetapkan dalam MoU adalah mengikut apa yang difikirkan kerajaan.
"Ia adalah terserah kepada pemimpin-pemimpin mereka setelah berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen PN. Tentunya syarat dan butiran draf MoU itu mengikut apa yang difikirkan oleh kerajaan MADANI.
"Kerajaan semasa membuat suara lebih dua pertiga daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
"Sebelum ini, perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) yang diberikan kepada pembangkang ketika pentadbiran Perdana Menteri terdahulu (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) adalah berbeza kerana ia memerlukan sokongan untuk meluluskan peruntukan Belanjawan.
"Tapi kali ini dengan sokongan lebih dua pertiga Ahli-Ahli Parlimen, CSA tidak diperlukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Perwakilan MIC Kebangsaan ke-78, di sini, pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, pihaknya sedia berunding, namun menegaskan syarat MoU itu tidak akan 'lari' daripada kandungan asal yang diputuskan.
PN pada Ahad mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan di antara kerajaan dengan parti PN dan di antara kerajaan dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.
Beliau mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
#Zahid Hamidi #peruntukan pembangkang #MoU #ahli Parlimen Perikatan Nasional
;