MoU PDI Malaysia-Indonesia libatkan pembantu rumah ditunda 1 April ini - Saravanan

Bernama
Mac 15, 2022 18:14 MYT
Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M.Saravanan pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) meliputi pembantu rumah yang akan ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia ditunda pada 1 April ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Beliau berkata sebelum ini majlis menandatangani MoU itu dijadual berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Jumaat ini, namun ditunda bagi membolehkan kedua-dua pemimpin negara hadir menyaksikan MoU itu.
"MoU ini ditetapkan pada 18 Mac ini bagaimanapun, Pak Jokowi (Presiden Indonesia Joko Widodo) ingin menyertai untuk menyaksikan MoU ini. Jadi bila ada Presiden, kita kena ada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).
"Beliau (Ismail Sabri) ada satu lagi majlis (minggu ini) iaitu Perhimpunan Agung UMNO. Jadi (majlis menandatangani MoU) ditunda ke 1 April di Jakarta yang mana pemimpin kedua-dua negara akan ada untuk menyaksikan majlis MoU antara Kuala Lumpur dan Jakarta," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Pada 6 Feb lepas, media melaporkan rundingan pengambilan dan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia yang dimulakan sejak 2017 masih gagal diselesaikan dalam tempoh terdekat manakala MoU yang dijadual dimeterai kedua-dua negara pada 8 Feb ditangguhkan.
-- BERNAMA
#Memorandum Persefahaman #MoU #pekhidmat domestik Indonesia #PDI #pembantu rumah #Malaysia #Indonesia #ditunda #Menteri Sumber Manusia #M Saravanan
;