MoU kerajaan - PH mampu realisasi kestabilan politik, tumpu perjuangan survival rakyat

Madiha Abdullah
September 13, 2021 19:33 MYT
Keterbukaan perdana menteri baharu untuk melakukan reformasi institusi sukar ditolak kerana ia termaktub dalam manifesto PH.
KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini dilihat akan membawa perubahan terhadap landskap politik semasa.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpendapat, paling ketara adalah kerana ia secara tidak langsung merupakan satu akuan oleh pembangkang dalam mengesahkan tampuk kekuasaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
"Pembangkang mengakui dan menyerah kalah dalam aspek perebutan jawatan atau kekuasaan di Putrajaya dan Datuk Seri Ismail Sabri muktamad kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
"Pembangkang sebenarnya tak ada pilihan yang banyak selain menerima MoU ini bagi memastikan kelestarian politik berjalan dengan baik," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Isnin.
Tegas Hisommudin, keterbukaan Perdana Menteri baharu untuk melakukan reformasi institusi sukar ditolak kerana ia termaktub dalam manifesto PH semasa kempen pilihan raya umum (PRU) mereka sebelum ini.
Situasi semasa memberi keuntungan kepada rakyat, justeru ia dilihat sebagai opsyen terbaik bagi PH.
"Melihat pada dapatan kajian kami, kebimbangan rakyat ialah bagaimana kerajaan dan semua pihak akan berkompromi untuk menangani isu ekonomi, sosial dan kesihatan.
"Rakyat sebenarnya tidak kisah tentang perjanjian atau MoU di pihak parti politik kerana yang menjadi topik perbincangan mereka ialah survival, ekonomi, peluang pekerjaan dan pendidikan.
"Jadi perkembangan semasa adalah pilihan tepat kerana dengan termeterainya memorandum ini, ia akan membantu membawa kestabilan politik, maka kerajaan boleh memulakan langkah melaksanakan setiap hasrat dan keperluan rakyat," tambahnya.
BACA: Lakar sejarah, enam perkara dimeterai dalam MoU kerajaan dan pembangkang
Kerajaan Persekutuan dan PH hari ini melakar sejarah dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Dewan Bankuet, Parlimen.
MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran serta Pembaharuan Parlimen.
Selain itu, tiga lagi pengisian adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Memorandum | Persefahaman kerajaan dan Pakatan Harapan - Hisommudin Bakar
#Memorandum Persefahaman #MoU #ismail sabri yaakob #Parlimen #pembangkang #Pakatan Harapan #ekonomi #kerajaan
;