MoU kerajaan, pembangkang budaya politik baharu Malaysia - Ismail Sabri

Firdaus Azil
Oktober 3, 2021 21:38 MYT
PM berkata, biarpun MoU itu sejarah baharu untuk Malaysia, konsep itu merupakan amalan biasa untuk negara-negara maju. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (Mou) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan dan pembangkang, merupakan budaya politik baharu negara, yang tidak pernah terjadi sebelum ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mengakui ketika MoU itu dimaklumkan kepada masyarakat, pelbagai persepsi timbul daripada rakyat kerana ia tidak pernah berlaku.
Namun katanya lagi, biarpun MoU itu adalah sejarah baharu untuk Malaysia, konsep itu merupakan amalan biasa untuk negara-negara maju, bagi mengutamakan soal rakyat dan pembangunan negara, serta mengenepi politicking.
“Jadi antara pembangkang dan kerajaan, sama-sama membina negara. Benar kita (kerajaan dan pembangkang) berlawan tapi hanya sewaktu pilihan raya, iaitu lima tahun sekali.
“Apabila rakyat sudah memberi mandat, kerajaan ditubuhkan, kita kena sama-sama membina negara ini,” katanya lagi, dalam program Wawancara Khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri, yang disiarkan di Astro AWANI, TV3, dan RTM pada Ahad malam.
Perdana Menteri berkata, dengan mengenepikan politicking buat sementara waktu, pembangkang masih boleh memberi pandangan dan kritikan untuk semak dan imbang, dan mana-mana yang dirasakan baik sudah pasti akan diikuti kerajaan.
Katanya lagi, dengan sokongan dan dokongan semua pihak termasuk pembangkang, sudah pasti apa yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) lebih mudah tercapai.
“Apa yang kita buat, adalah untuk kepentingan rakyat… itu yang penting. Dan saya ingin junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, sewaktu Mesyuarat Khas Raja-raja, kerana mencadangkan kerjasama di antara kerajaan dan pembangkang,” katanya lagi.
#Eksklusif bersama Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #MoU #budaya politik baharu
;