MoU dengan Malaysia untuk pengambilan pekerja India sedang dibincangkan - Menteri India

Bernama
Jun 2, 2023 13:38 MYT
Muraleedharan menyampaikan ucap tama ketika menghadiri persidangan bertajuk 'India-ASEAN Dynamics in the Emerging Indo-Pacific Order: Pathways to Cooperation beyond the Third Decade', Kuala Lumpur, hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia untuk mengambil pekerja dari India akan dimuktamadkan tidak lama lagi, kata Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar India V Muraleedharan di Kuala Lumpur pada petang Khamis.
"Kami sedang dalam proses memuktamadkan teks MoU pekerjaan, pengambilan dan penghantaran pulang pekerja antara kedua-dua negara untuk ditandatangani.
"Saya yakin ini akan membuka jalan untuk memperkemas pergerakan pekerja dari India ke Malaysia dan memberi perlindungan dan hak yang lebih baik kepada mereka," kata Muraleedharan pada suatu majlis masyarakat India.
Kini terdapat lebih 225,000 warga India berada dan bekerja di Malaysia.
Menteri itu mengadakan beberapa pertemuan dengan persatuan-persatuan masyarakat India di Malaysia dan kumpulan masyarakat ekspatriat pada hari pertama lawatannya ke Malaysia dari 1 dan 2 Jun.
Muraleedharan berkata kerajaan India kini menyantuni masyarakat India di luar negara untuk mendapatkan penyertaan mereka dalam apa yang disebutnya sebagai "transformasi hebat India baharu".
"Saya mengajak anda untuk menyertai usaha transformatif ini," katanya.
Muraleedharan memuji peranan komuniti diaspora dalam mempromosi hubungan rapat antara India dan Malaysia.
-- BERNAMA
#MoU #pekerja dari India #warga India di Malaysia #V Muraleedharan
;