MoU bina kerjasama strategik UUM dan 5 universiti di Turki

Astro Awani
Mac 4, 2024 16:28 MYT
Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan dan rektor universiti dari Turkiye bertujar-tukar cenderhati. - Gambar UUM
ISTANBUL: Kerjasama akademik, pembangunan mahasiswa dan inovasi merupakan antara bidang yang diberi tumpuan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lima universiti di Turki.
Selain itu, program mobiliti mahasiswa dan kakitangan universiti turut disenarai sebagai pelaksanaan di bawah MoU tersebut.
Majlis menandatangani MoU berlangsung di Istanbul, disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman.
MoU ditandatangani Naib Canselor UUM, Profesor Mohd Foad Sakdan bersama rektor universiti terlibat.
Karabuk University diwakili Rektornya, Profesor Dr Fatih Kirisik, Ankara Yildrim Beyazit University oleh Profesor Dr Ali Cengiz Koseoglu dan Dicle University diwakili Profesor Dr Mehmet Karakoc.
Rektor Gebze Technical University, Profesor Dr Haci Ali Mantar dan Naib Rektor Mardin Artuklu University, Profesor Dr Yilmaz Demirhan turut memeterai MoU dengan UUM di Istanbul.
MoU ini menjadi platform bersama untuk membangunkan idea yang memberi manfaat bukan sahaja kepada universiti terlibat tetapi menyumbang kepada pembangunan kedua-dua negara.
Menerusi kerjasama ini juga, hubungan strategik, berkesan dan bersifat perancangan masa hadapan akan dibina menerusi pelantikan profesor pelawat, penyeliaan bersama program pasca siswazah, penerbitan dan penyelidikan akademik bersama.
Bagi program mobiliti mahasiswa, ia akan dilaksana di bawah Program Pertukaran Mevlana dan dibiayai dana Farabi, manakala mobiliti kakitangan universiti melalui pembiayaan Erasmus.
Pelaksanaan MoU berkenaan turut merangkumi penganjuran seminar dan webinar bersama, program kerjasama akademik seperti penawaran ijazah berganda.
Bidang kerjasama ini bakal menyediakan peluang kepada penyelidik dan pelajar memperoleh ilmu pengetahuan selain meningkatkan kemahiran menerusi pemindahan ilmu dan kepakaran.
Ia sekali gus memberi nilai tambah kepada industri di kedua-dua negara, untuk kekal berada di hadapan berbanding pesaing di dalam bidang yang sama.
UUM berharap dapat memainkan peranan kolektif dalam usaha meningkatkan nilai mahasiswa melalui pendidikan, penyampaian ilmu dan pengalaman serta membina kemahiran mereka.
#UUM #MoU #Dr Mohd Foad Sakdan #Malaysia #Turki #Kementerian Pendidikan Tinggi #idea
;