Motosikal terbabas jatuh gaung tujuh meter, dua wanita selamat
Abd Razak Mohd Ali
Januari 15, 2024 06:10 MYT
Januari 15, 2024 06:10 MYT
TAPAH: Anggota bomba berjaya menyelamatkan dua wanita selepas motosikal yang mereka naiki terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam tujuh meter di Jalan Chenderiang, Batu 8, dekat sini, malam tadi.
Mangsa, Saniah Abdul Halil, 22 tahun, mengalami patah kaki manakala rakannya, Nur Fadilah Ahmad Husni, 28 tahun, mengalami sakit di bahagian dada.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 9.41 malam.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dapat diselamatkan dengan menggunakan pengusung dan tali untuk dibawa naik dari dalam gaung.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan.
Ketua operasi Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahman Ibrahim berkata, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah terlibat dalam operasi menyelamat.