Motosikal roda tiga mudahkan kerja PBS Pulau Perhentian

Bernama
Oktober 22, 2022 11:37 MYT
Motosikal roda tiga itu dapat digunakan anggota PBS untuk mengangkut peralatan memadam kebakaran seperti pam, paip dan peralatan lain. - Bernama
JERTIH: Tugas Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pulau Perhentian di Kuala Besut dekat sini dalam melaksanakan kerja memadam kebakaran akan menjadi lebih mudah dengan adanya sebuah motosikal roda tiga yang baru diterima.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata motosikal roda tiga jenis Modenas Kriss yang disumbangkan Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Besut itu dapat digunakan anggota PBS untuk mengangkut peralatan memadam kebakaran seperti pam, paip dan peralatan lain.
"Sekiranya berlaku kebakaran khususnya di perkampungan Pulau Perhentian, anggota PBS dapat melaksanakan tugas memadam dan mengawal kebakaran dengan lebih pantas dan cepat memandangkan beberapa peralatan agak berat.
"Kedudukan kira-kira 280 rumah di pulau itu yang terletak berdekatan sudah pasti memerlukan tindakan segera daripada anggota," katanya kepada Bernama pada majlis penyerahan motosikal itu daripada Pengarah MTD Kuala Besut Besut Azbi Salleh di Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Kampung Raja di sini malam tadi.
Dalam pada itu katanya, pihaknya turut menempatkan anggota bomba sepenuh masa di pulau itu untuk membantu PBS Pulau Perhentian.
Md Hilman berkata seramai tiga anggota bomba dari beberapa Balai Bomba dan Penyelamat di daerah Besut dan Setiu ditugaskan di pulau berkenaan pada satu-satu masa untuk tempoh seminggu sebelum diganti oleh anggota lain pada minggu berikutnya.
Sementara itu, Azbi berkata sumbangan berkenaan adalah bagi manfaat penduduk di pulau itu untuk mengurangkan risiko kebakaran yang lebih besar.
"Sebelum ini saya difahamkan anggota PBS terpaksa meminjam motosikal roda tiga milik penduduk kampung untuk mengangkut peralatan memadam kebakaran di pulau itu," katanya sambil memberitahu motosikal berkenaan bernilai kira-kira RM7,000.
-- BERNAMA
#pasukan bomba #Pulau Perhentian #motosikal roda tiga #kebakaran
;