Motosikal langgar belakang lori, penyelia kilang maut

Abd Razak Mohd Ali
Mac 26, 2021 03:33 MYT
Satthiyah maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 81, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Sungkai, pagi tadi. -Foto PDRM
TAPAH: Seorang penyelia kilang kicap maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 81, Jalan Ipoh–Kuala Lumpur, berhampiran Taman Bakti, Sungkai, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 7.45 pagi itu berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari Sungkai ke Bidor, melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori yang membawa muatan barangan plastik.
Mangsa, M. Satthiyah, 20, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata pemandu lori yang berumur 51 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk urusan bedah siasat yang dijadualkan petang ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan #langgar belakang lori #penyelia kilang kicap #M Satthiyah #Wan Azharuddin Wan Ismail #Seksyen 41 1 #Unit Forensik #Hospital Tapah #Taman Bakti