Motosikal kemalangan terbakar akibat minyak yang dibawa, penunggang parah melecur

Abd Razak Mohd Ali
April 20, 2021 06:56 MYT
Akibat pelanggaran itu, motosikal Ahmad Tarmize terbakar dengan marak, ditambah petrol di dalam raga. - Foto PDRM/JBPM
PASIR SALAK: Dua lelaki parah melecur apabila motosikal yang mereka tunggang terlibat dalam kemalangan lalu terbakar di Kilometer 12, Jalan Bota Kiri-Teluk Sena, dekat sini, semalam.
Warga tempatan, Ahmad Tarmize Abdul Kadir, 36 tahun, melecur seluruh badan manakala warga Pakistan, Khan Imtiaz, 29 tahun, melecur di kaki, tangan dan kepala.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika Ahmad Tarmize dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Kubu, sambil membawa minyak petrol di dalam raga motosikal.
Ketika sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dilanggar motosikal Khan yang sedang keluar simpang di kawasan gerai.
"Akibat pelanggaran itu, motosikal Ahmad Tarmize terbakar dengan marak, ditambah petrol di dalam raga," katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Barudin berkata, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang.
Menurutnya, punca kemalangan dipercayai cuai ketika keluar simpang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan #motosikal #parah #cuai ketika keluar simpang #Hospital Changkat Melintang #terbakar #melecur #Jalan Bota Kiri-Teluk Sena #Perak Tengah #Barudin Wariso #Pasir Salak #minyak petrol
;