Motosikal dirempuh kereta, tiga penuntut UiTM Dungun maut

Bernama
Oktober 9, 2024 00:21 MYT
Sharizal berkata laporan awal mendapati nahas itu melibatkan motosikal jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa berusia lingkungan 20-an dan kereta Honda CRV dipandu seorang wanita. - Gambar Bernama
KUALA TERENGGANU: Tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut manakala seorang lagi parah dalam nahas jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Pantai Sura di sini malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Sharizal Shamsudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.26 malam sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi nahas.
Beliau berkata laporan awal mendapati nahas itu melibatkan motosikal jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa berusia lingkungan 20-an dan kereta Honda CRV dipandu seorang wanita.
“Kereta berkenaan merempuh kedua-dua motosikal itu dari arah belakang ketika dalam perjalanan ke universiti. Satu daripada motosikal itu terseret hampir 60 meter.
“Kedua-dua penunggang dan pembonceng Yamaha LC135 maut manakala seorang yang menaiki Yamaha Y15 cedera dan seorang lagi meninggal dunia. Semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian setelah disahkan petugas perubatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata pemandu wanita berkenaan yang ada menunjukkan tanda-tanda masalah mental difahamkan telah dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.
“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital manakala mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, UiTM Cawangan Terengganu menerusi kenyataan dikeluarkan malam ini mengesahkan nahas yang berlaku di jalan berhadapan kampus berkenaan melibatkan empat penuntut.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin dan Ku Adib Aizad Ku Azmi manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan cedera parah.
“Muhammad Ammar Danish kini dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.
“Pihak universiti berdukacita atas kejadian yang berlaku dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan semoga Allah permudahkan urusan keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan pihak universiti turut menyediakan bantuan dan sokongan yang diperlukan keluarga.
-- BERNAMA
#UiTM #ucapan takziah #JBPM #Honda CRV
;