Motosikal bertembung: Pelajar Tingkatan Satu maut, seorang lagi cedera parah
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 11, 2022 12:54 MYT
Mei 11, 2022 12:54 MYT
KEPALA BATAS: Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Lahar Kepar, Kepala Batas, awal pagi Rabu.
Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.
Katanya, polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 12.30 tengah malam.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku membabitkan dua buah motosikal yang ditunggangi pelajar berusia 13 dan 14 tahun.
Ketika kejadian, pelajar berusia 13 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM warna biru sedang dalam perjalanan dari arah Penaga menghala ke Kepala Batas.
"Apabila sampai di lokasi kejadian motosikal terbabit telah memotong sebuah kereta di hadapannya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi pelajar berusia 14 tahun dari arah bertentangan" katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
"Akibat pertembungan itu, pelajar berusia 13 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pelajar berusia 14 tahun mengalami patah kaki kanan dan cedera di bahagian badan," katanya.
Jelasnya, kedua-dua motosikal yang ditunggangi pelajar berkenaan adalah milik bapa mereka.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.