Motosikal bertembung lori, dua warga Myanmar maut

Astro Awani
Mei 8, 2020 09:47 MYT
Akibat pertembungan itu, motosikal mangsa tercampak ke bahu jalan dan mangsa yang parah pada bahagian kepala serta anggota badan maut di tempat kejadian.
Dua warga Myanmar maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan ikan dalam satu kejadian malam tadi di Jalan Kampung Pengkalan Setar, di sini.
Nahas berlaku kira-kira jam 11.15 malam, melibatkan mangsa yang dikenali sebagai Mohamas Ilyas Dil Mohamad, 26 tahun, dan Abu Siddiq Mohd Husson, 19 tahun.
Mereka sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Kedai Buluh menghala ke Pengadang Baru.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai terbabas lalu memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Akibat pertembungan itu, motosikal mangsa tercampak ke bahu jalan dan mangsa yang parah pada bahagian kepala serta anggota badan maut di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu lori berusia 46 tahun dan kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
#Hospital Sultanah Nur Zahirah #kemalangan #Kuala Terengganu #Lori #lori ikan #mangsa #mayat #motosikal #Myanmar #Nahas #polis #warga myanmar
;