Motosikal bertembung, dua sahabat maut di Terengganu

Astro Awani
April 3, 2019 07:43 MYT
Motosikal yang ditunggang dua sahabat itu hancur akibat pertembungan yang berlaku kira-kira jam 8 malam tadi. - Astro AWANI
Dua sahabat maut selepas motosikal yang ditunggangi dipercayai bertembung sesama sendiri dalam kejadian di Kampung Bukit Chendering, di sini, kira-kira pukul 8 malam tadi.
Nahas itu menyebabkan mangsa, Mohammad Khairul Izuan Ariff, 22 tahun, dan Mohammad Zulfahmi Faisal Mohd Marzuki, 25 tahun, pekerja di sebuah kilang yang sama, maut di tempat kejadian.
Ketika kejadian, salah seorang mangsa menunggang motosikal menghala ke arah Kampung Kedai Buluh setelah selesai bekerja, manakala seorang lagi dalam perjalanan untuk memulakan kerja shif malam.
Ekoran pertembungan itu, motosikal yang ditunggang mereka hancur di bahagian hadapan sementara mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Suffian Sulaiman, mengesahkan kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Hospital Sultanah Nur Zahirah #Kampung Bukit Chendering #Kuala Terengganu #mangsa #maut #mayat #motosikal #motosikal bertembung #Nahas #pekerja kilang #polis
;