Dua penunggang motosikal maut setelah motosikal yang dinaiki bertembung dalam kemalangan di Kilometer 3.7 Jalan Siakap, Kuala Kurau di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob menerusi kenyataan hari ini berkata dalam kejadian 6.16 petang itu, mangsa yang maut ialah Syamsul Zahari Aznan, 22, dan Mohamad Azammudin Azhar, 21.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila motosikal Kawasaki RR yang ditunggangi Mohamad Azammudin dari arah Bagan Serai ke Batu Kurau dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan, namun tidak sempat mengelak dan bertembung dengan Syamsul Zahari yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, Syamsul Azahari meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohamad Azammudin pula dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Parit Buntar untuk rawatan, namun meninggal dunia pada 7.19 malam," katanya.

-- BERNAMA