Motosikal bergesel, dua maut dalam tragedi konvoi raya di Maran
Bernama
Jun 7, 2019 10:53 MYT
Jun 7, 2019 10:53 MYT
Perjalanan pulang dua rakan selepas berhari raya secara berkonvoi berakhir tragedi apabila dilanggar selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri di jalan besar Jengka 23, Maran dekat sini Khamis malam.
Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata kejadian pada 10.15 malam itu menyebabkan Hamdan Mat, 47, maut ditempat kejadian manakala Mohammad Shahrizan Ahmad, 37, disahkan meninggal dunia di Hospital Jengka.
Manakala seorang lagi rakan mereka Abu Bakar Ahmad, 26, yang turut menunggang motosikal sendiri bagi menyertai konvoi dari Jengka 22 ke Jengka 23 itu, patah tangan kanan.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Hamdan dan Mohammad Shahrizan bergesel di kawasan selekoh menyebabkan mereka terjatuh ke arah laluan bertentangan dan dilanggar kereta Proton Waja.
"Pemandu Proton Waja mendakwa tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sebelum keretanya juga terbabas dan melanggar Abu Bakar serta sebuah kereta Honda Civic yang berada di belakang konvoi mangsa," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Norzamri berkata lelaki yang masing-masing memandu Proton Waja yang berusia 54 tahun dan Honda Civic, 32, bagaimanapun tidak cedera.
Beliau berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA