Motosikal bergesel dengan bas, warga emas maut
Aida Aziz
Mac 27, 2022 15:20 MYT
Mac 27, 2022 15:20 MYT
SUNGKAI: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer (KM) 1, Jalan Changkat Sulaiman di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, mangsa yang berusia 72 tahun maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangnya dipercayai bergesel dengan sebuah bas yang membawa 10 orang penumpang.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt. Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Rapinge Rasidi yang beralamat di Felda Trolak Selatan, Sungkai mengalami kecederaan parah.
"Hasil siasatan awal di tempat kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah bergesel dengan motosikal yang keluar dari simpang sebelah kiri.
"Akibat daripada itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Beliau berkata, punca kemalangan disebabkan mangsa keluar dari simpang secara tiba-tiba.
Katanya lagi, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk proses bedah siasat selepas menerima keputusan ujian COVID-19.
"Pemandu bas berusia 34 tahun dan penumpang di dalam bas tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Wan Azharuddin berkata, siasatan lanjut diteruskan selain kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.