KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat menentukan motif insiden serangan asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim dan dua lagi pemain bola sepak negara, setakat ini.


Ringkasan AI
  • PDRM masih belum dapat menentukan motif bagi serangan asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim, dan dua lagi pemain bola sepak negara yang lain.
  • Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyatakan bahawa siasatan sedang berlangsung, dengan dua fasa keterangan melibatkan FAM, namun motif serangan belum dapat ditentukan.
  • Walaupun fotofit suspek telah disediakan, tetapi siasatan masih berterusan tanpa maklumat yang pasti, dan pihak polis akan melakukan semakan semula dan bertemu dengan pemain terlibat untuk makluman lanjut.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bagi kes Faisal, pihaknya telah melakukan dua fasa keterangan melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan akan terus melakukan siasatan lanjut. 

"Kita masih lagi siasat buat masa ini belum dapat 'established motive' terhadap ketiga-tiga serangan. Apa yang kita nampak hanyalah pattern (corak serangan) iaitu dua hari sekali.

"Untuk mengesan pelaku kepada Faisal, kita dah buat pengesanan cap jari (tetapi hasilnya) negatif. Fotofit (suspek) yang mana semua sedia maklum, tidak banyak membantu.

"Kita sedang melaksanakan risikan dan proses siasatan ini tidak mudah apabila kamu tidak mempunyai saksi-saksi awam dan bebas yang boleh membantu kami. Ini adalah cabaran dan kami tidak pernah berhenti," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, pada Jumaat.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa Faisal tidak dimaklumkan mengenai perkembangan kesnya, Mohd Shuhaily berkata pihaknya akan melakukan semakan terhadap kes tersebut, selain bertemu dengan pemain kebangsaan itu.

"Kita tengok balik dengan kontinjen Selangor sama ada (kes tersebut) dikemas kini (atau tidak). Tetapi dalam konteks hasil siasatan, tiada banyak yang (boleh) dikemas kini kepada mangsa. Buat masa ini kami tidak mempunyai sebarang petunjuk," ujarnya lagi.

BACA: Kes simbah asid Faisal Halim: Belum ada perkembangan siasatan polis - Peguam

Semalam, peguam yang mewakili Faisal, Mohd Haijan Omar berharap agar pihak polis dapat memberikan perkembangan terkini mengenai kes simbah asid selepas sebulan insiden itu berlaku.

Menurut Mohd Haijan, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada pihak polis dan menegaskan Faisal berhak untuk mengetahui perkembangan kes tersebut.

Pada 2 Mei, pemain bola sepak kebangsaan Akhyar Rashid dilaporkan cedera selepas menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu.

Pada 5 Mei pula, Faisal  mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali, menyebabkan kecederaan pada badannya.

Manakala, pada 7 Mei, cermin kereta pemain tengah pasukan bola sepak JDT Safiq Rahim dipecahkan individu tidak dikenali berhampiran Pusat Latihan JDT.