MOTAC terus beri perhatian kepada kawasan tarikan pelancongan, kebudayaan
Bernama
Februari 27, 2021 03:59 MYT
Februari 27, 2021 03:59 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus memberi perhatian kepada kawasan serta tempat yang mempunyai nilai dan daya tarikan pelancongan, seni dan budaya untuk diangkat sebagai produk pelancongan baharu yang boleh diketengahkan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata antara langkah yang diambil ialah dengan memastikan keperluan ke atas pembangunan infrastruktur diberi keutamaan.
Beliau berkata langkah itu dapat dilakukan menerusi aktiviti turun padang bagi mengenal pasti tempat-tempat mempunyai nilai dan elemen pelancongan, seni dan budaya serta mempromosikan tempat-tempat menarik dalam negara ini yang mungkin belum diterokai orang ramai.
Di samping itu, beliau berkata MOTAC juga perlu meningkatkan promosi kepada pengunjung luar agar Malaysia terus menjadi destinasi pelancongan pertama dikunjungi sebaik sahaja keadaan terkawal dan selamat daripada krisis pandemik COVID-19.
"Ini adalah satu produk pelancongan juga untuk kita di MOTAC kerana dengan kita mempromosikan ini memberi peluang kepada orang yang yang tidak pernah melihat produk-produk Sarawak dan Sabah mereka boleh datang ke sini menikmati, melihat sendiri dan merasainya di sini," katanya dalam kenyataan semasa melakukan kunjungan santai di Pasar Borneo Seri Kembangan, Selangor pada Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pasar Borneo Seri Kembangan Nelson Entap berharap MOTAC dapat menyokong usaha mereka untuk memperkenalkan Sarawak kepada masyarakat di seluruh negara.
"Apabila ada tetamu terhormat seperti ini datang, kami rasa berbangga kerana ini akan promosikan lagi pasar Borneo kerana objektif kami memberitahu semua warga Malaysia bahawa ada pasar Borneo di Semenanjung di Seri Kembangan," katanya.
Seorang pensyarah universiti swasta di Kuala Lumpur berkata dia menjadikan aktiviti menjual barangan Sarawak sebagai hobi hujung minggu di samping mendapat kenalan baharu dari kampung halaman.
"Apa yang kami jual di sini ialah makanan dari Sarawak seperti salai, sago dan buah-buahan dari Sabah dan Sarawak.
"Kami sangat bersyukur kerana setiap minggu purata jualan dalam RM1,300 hingga ke RM1,800 sehari.
"Sejak bulan lepas, makin ramai yang datang," katanya.
-- BERNAMA