MOTAC taruh harapan tinggi kepada pembukaan Pulau Langkawi - Nancy
Abd Hadi Che Awang
September 15, 2021 23:19 MYT
September 15, 2021 23:19 MYT
LANGKAWI: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menaruh harapan tinggi kepada projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi yang akan bermula pada esok.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ini kerana Pulau Legenda itu bukan sahaja akan menjadi tumpuan pelancongan domestik malah akan menjadi fokus media tempatan dan antarabangsa yang memungkinkan kejayaan kepada pembukaan pelancongan antarabangsa sekiranya projek 'travel bubble' yang dilaksanakan itu berjaya.
"Sehubungan itu, saya menggesa kepada orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke Pulau Langkawi supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan agar Gelembung Pelancongan Langkawi kekal hijau,
"Ia seterusnya dapat merealisasikan perancangan lebih banyak gelembung pelancongan domestik di masa akan datang,
"Menyedari isu keselamatan perlu dititik beratkan, maka hasil perkembangan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik serta pematuhan terhadap SOP norma baharu di Langkawi akan dijadikan kayu ukur sebagai persediaan rapi bagi pembukaan pulau-pulau peranginan yang lain," katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pembukaan Semula Sektor Pelancongan Langkawi di Langkawi International Convention Center (LICC) Kuah, pada Rabu.
Tambah beliau, maklum balas berkenaan kelak akan dinilai dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan seperti pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan yang dikenal pasti selaras dengan aspirasi MOTAC.
Nancy turut memaklumkan bahawa MOTAC juga ketika ini sedang menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik buat seluruh Keluarga Malaysia sebagai menghargai sokongan dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik.
Tambahnya MOTAC juga telah menggubal Pelan Pemulihan Pelancongan Negara dan ia telah disambut baik oleh pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan memperkenalkan Langkawi Tourism Recovery Plan atau dikenali sebagai (T-REC 2021-2022).
"Saya harap dengan adanya pelan ini dapat memulihkan dan menghidupkan kembali sektor pelancongan bukan sahaja di Langkawi malah di seluruh Malaysia agar lebih maju lagi menjelang fasa endemik COVID-19," menurutnya.