MOTAC siasat syarikat pelancongan gagal terbangkan jemaah umrah

Bernama
Januari 15, 2025 20:15 MYT
Menurut MOTAC, isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri berkenaan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat pelancongan berlesen yang didakwa gagal menerbangkan jemaah umrah, semalam.
MOTAC turut menyarankan supaya syarikat berkenaan menunaikan tempahan jemaah yang telah membuat bayaran penuh dan menerbangkan mereka mengikut jadual penerbangan seperti dipersetujui.
Bagi yang memohon pembatalan pakej umrah pula, syarikat berkenaan diminta memulangkan wang kepada jemaah yang berbuat demikian.
"Buat masa ini, syarikat telah dinasihati agar tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu sehingga menyelesaikan semua tempahan terdahulu," menurut MOTAC dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, MOTAC menasihati jemaah yang terlibat membuat laporan polis dan membuat aduan rasmi kepada MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), di pautan https://motac.spab.qov.my untuk membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
MOTAC turut mengingatkan syarikat pelancongan yang terlibat dengan pakej umrah supaya jujur dan telus dalam melaksanakan perniagaan.
Menurut MOTAC, isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri berkenaan.
"Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan umrah," menurut kenyataan itu.
Semalam, media melaporkan lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke Tanah Suci namun ditunda syarikat pengendali umrah.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis melalui pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mula melakukan siasatan di pejabat syarikat berkenaan di Sepang, Selangor.
Ketua JSJK Selangor Datuk Saiman Kasman dilihat tiba di pejabat itu pada 2 petang.
Polis turut meminta mereka yang berkumpul di hadapan pejabat itu sejak semalam, dipercayai bakal jemaah umrah terlibat, untuk beredar bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan.
-- BERNAMA
#MOTAC #umrah #Tanah Suci #SISPAA
;