MOTAC sedang bersedia terima semula kedatangan pelancong antarabangsa

Bernama
Oktober 8, 2021 08:26 MYT
Nancy pada Khamis mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil pengurusan dan agensi jualan melibatkan empat syarikat penerbangan antarabangsa di Asia Barat. - Facebook Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang membuat persediaan untuk menerima semula ketibaan pelancong luar termasuk dari Asia Barat dalam suasana persekitaran selamat daripada COVID-19, kata Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri.
Nancy berkata MOTAC komited meningkatkan kemudahsampaian para pelancong ke negara ini sebaik pembukaan semula pintu-pintu sempadan antarabangsa.
"Pelancong dari Asia Barat mendominasi lima kedudukan tertinggi dari segi perbelanjaan per kapita selain mencatatkan purata tempoh penginapan yang lebih panjang di negara ini berbanding pelancong dari pasaran lain," katanya dalam kenyataan semalam.
Kenyataan itu susulan pertemuan Nancy bersama wakil pengurusan dan agensi jualan empat syarikat penerbangan antarabangsa di Asia Barat dalam usaha menjalinkan kerjasama bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Empat syarikat tersebut ialah Qatar Airways, Saudi Arabian Airlines, Air Arabia dan Emirates Airlines.
Sumber Facebook MyMOTAC
Sementara itu, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah strategi dan perancangan mempromosi Malaysia bagi menarik pelancong antarabangsa dari pasaran lain seperti Eropah, Amerika dan Afrika melalui jaringan rangkaian syarikat penerbangan masing-masing.
-- BERNAMA
#Nancy Shukri #MOTAC #pelancong antarabangsa #buka semula pintu sempadan
;