MOTAC sasar Langkawi jadi destinasi pelancongan pertama dibuka - Nancy
Bernama
Ogos 30, 2021 21:46 MYT
Ogos 30, 2021 21:46 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan Pulau Langkawi menjadi destinasi pelancongan yang pertama dibuka kepada orang ramai, sekali gus membantu meningkatkan tahap sosioekonomi orang ramai yang terjejas akibat COVID-19.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pulau peranginan itu menjadi pilihan pertama sektor pelancongan kerana lokasinya yang tertumpu (concentrated area) dan tertutup, seterusnya mudah dikawal.
Selain itu beliau berkata Langkawi yang juga permata Kedah mempunyai 119,000 penduduk dan disasar mencapai imuniti kelompok esok, 31 Ogos.
"Syarikat penerbangan antarabangsa juga pergi ke Langkawi... jadi ia fokus dan merupakan concentrated area untuk sektor pelancongan bagi mereka yang telah melengkapkan vaksinasi masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia oleh barisan menteri dan timbalan menteri di Istana Negara hari ini.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata pada awalnya, MOTAC menyasarkan 1 Sept untuk sektor pelancongan di Langkawi dibuka kepada orang ramai, namun ditunda atas faktor peningkatan kes COVID-19.
"Penduduk Langkawi telah mencapai imuniti kelompok, jadi mereka telah bersedia, cuma mereka sekarang ini minta tangguh dahulu kerana kes COVID-19 mendadak naik," katanya.
Sementara itu Nancy berkata isu pelancongan perlu ditangani dengan segera dan memerlukan strategi baharu sesuai dengan cabaran semasa.
"Kita akan tetapkan kriteria utama untuk pergi melancong adalah vaksinasi.
"Insya-Allah mudah-mudahan pelancong akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu pelancongan...jadi sama-sama kita lihat bagaimana sektor pelancongan, seni dan budaya ini dapat membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat," katanya.
-- BERNAMA