MOTAC sasar kemasukan 30 juta pelancong menjelang 2020
Astro Awani
Mei 14, 2019 12:14 MYT
Mei 14, 2019 12:14 MYT
Kemasukan pelancong diyakini dapat ditingkatkan tahun ini dan mampu mencapai sasaran 30 juta pelancong menjelang tahun 2020.
Kerjasama dengan negara jiran seperti Thailand dilihat sebagai salah satu cara melipatgandakan usaha menarik pelancong asing ke negara ini.
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kerjasama silang budaya diyakini dapat mempertingkatkan lagi usaha kerajaan mencapai sasaran kehadiran pelancong.
“Kita yakin dan percaya kerjasama ini adalah satu yang baik buat kedua-dua negara.
“Ia tidak hanya mampu meningkatkan kehadiran pelancong malah mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Thailand melalui program silang budaya,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Gabenor Narathiwat, Thailand Ekkarat Lessen di pejabatnya di Putrajaya pada Selasa.
Pada pertemuan tersebut Ekkarat Lessen telah menyerahkan surat jemputan berhubung Pesta Pelancongan, Kebudayaan Dan Sukan Narathiwat yang bakal berlangsung pada 28 Jun nanti.
Tambah Mohamaddin, pada pesta itu nanti, MOTAC akan membawa pasukan kebudayaannya bagi tujuan program silang budaya.
“Kita akan nanti membawa rombongan kebudayaan kita untuk mempromosikan produk kita di Thailand khususnya bagi tontonan orang ramai dan pelancong di wilayah terbabit.
“Apabila ini dapat kita lakukan, pelancong di Thailand itu nanti khususnya akan berminat pula untuk berkunjung ke negara kita kerana mereka ingin melihat lebih dekat produk yang kita ada.
“Kita tidak hanya melihat Thailand sebagai rakan promosi malah kita akan memanjangkan lagi kerjasama dengan negara ASEAN lain untuk tujuan sama,” katanya.
Jelas Mohamaddin usaha tersebut adalah merupakan langkah terbaharu kerajaan untuk mencapai dan merealisasikan misi Tahun Melawat Malaysia 2020.
“Apa yang negara ASEAN ada, kita juga ada tapi kita mahu masyarakat dunia tahu bahawa kita ada banyak lagi untuk ditonjolkan,” katanya.
Sementara itu, menurut Ekkarat pula, negara tidak perlu risau tentang soal keselamatan di selatan thai kerana kerajaan Thailand memberi jaminan penuh keselamatan bagi delegasi negara yang akan hadir nanti.
“Wilayah Narathiwat yang dihuni lebih 800,000 orang kini berada pada tahap keselamatan terbaik dan langkah keselamatan menjelang penganjuran pesta itu juga telah disiap siagakan.
“Justeru, wilayah Narathiwat adalah selamat untuk dikunjungi dan pelancong tidak perlu khuatir dengan soal keselamatan mereka semasa berada di sana,” katanya.
Penganjuran Pesta Pelancongan, Budaya dan Seni Narathiwat telah memasuki tahun ke-10 penganjurannya dan malaysia sering dijemput bagi acara tersebut.
#30 juta pelancong
#Ekkarat Lessen
#kemasukan pelancong
#Mohamaddin Ketapi
#pelancongan
#sasaran kehadiran pelancong