MOTAC sasar 3.2 juta pelancong Muslim ke Malaysia tahun ini

Bernama
Ogos 18, 2023 21:56 MYT
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berucap pada majlis pelancaran Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2023, hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan 3.2 juta ketibaan pelancong Muslim di negara sepanjang tahun ini, berbanding 2.1 juta pada tahun lepas.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata jumlah itu, merupakan 20 peratus daripada 16.1 juta pelancong asing, yang disasarkan tahun ini dengan pendapatan pelancongan keseluruhan berjumlah RM49.2 bilion.
Beliau berkata hasrat itu mampu dicapai, sekiranya pemain industri pelancongan Muslim berkenaan memainkan peranan masing-masing secara kolektif dan holistik, selain peranan yang dimainkan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC).
"Walaupun tahun ini kita sasarkan 16 juta kemasukan pelancong asing, namun kita yakin melebihi dari itu malah pelancong Muslim pula turut akan meningkat, kerana kelebihan kita merupakan perintis kepada Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH), selain majoriti penduduk yang beragama Islam.
"Pelancong Muslim merupakan pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dan itu sebabnya kita tekankan mengenai MFTH, agar pemain tempatan dapat memperluaskan lagi tawaran sebagai salah satu nilai tambah industri pelancongan Islam dalam negara," katanya pada sidang media selepas pelancaran Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2023 di sini hari ini.
Hadir sama dan merasmikan program itu Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee serta Ketua Pengarah ITC Nizran Noordin.
Khairul Firdaus berkata negara memang terkenal sebagai destinasi pelancongan Muslim, namun kerajaan melihat terdapat perkara yang perlu ditambah baik untuk menarik lebih ramai pelacong luar negara.
"Kita perlu memahami keperluan dan pilihan pelancong Islam dan cara menyesuaikannya, serta serasikan produk selain perkhidmatan bagi memenuhi keperluan itu dan usaha itu masih tidak capai tahap maksimum, namun kita akan usaha lagi melalui ITC.
"Begitu juga kita sering terlepas pandang untuk promosikan pelancongan Muslim di negara minoriti Muslim, kerana mereka ini sebenarnya turut mahu merasai apakah pendekatan MFTH dan kita akan usaha ke arah itu kelak," katanya.
-- BERNAMA
#MOTAC #pelancong muslim #Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya #Malaysia
;