MOTAC sasar 200,000 pelancong kunjungi Langkawi

Bernama
September 16, 2021 18:58 MYT
MOTAC menyasarkan kira-kira 200,000 pelancong domestik akan mengunjungi Langkawi bermula hari ini hingga Disember ini. - Gambar fail/BERNAMA
LANGKAWI: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kira-kira 200,000 pelancong domestik akan mengunjungi Langkawi bermula hari ini hingga Disember ini.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kira-kira 30,000 pelancong dijangka melawat ke pulau peranginan itu sepanjang September selepas industri pelancongan pulau berkenaan dibuka semula di bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai hari ini.
"Jadi adalah penting pada hari ini kedatangan pelancong ini menjadi tanda aras kepada hari yang lain kerana orang akan melihat minggu depan macam mana, berapa ramai lagi boleh datang kerana kalau hari ini menunjukkan kejayaan bagi kita maka hari-hari lain akan menjadi lebih mudah.
"Kebetulan pula minggu ini dirasakan sebagai hujung minggu yang panjang kerana hari ini adalah cuti umum dan esok Jumaat ada negeri yang cuti, jadi sampai hari Sabtu dan Ahad cuti. Jadi ini adalah peluang terbaik untuk kita menyaksikan prestasi Langkawi ini sebagai projek rintis," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyambut ketibaan 159 pelancong yang menaiki pesawat pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi susulan pembukaan gelembung pelancongan Langkawi hari ini.
BACA: Keputusan mewajibkan ujian COVID-19 bagi pelancong ke Langkawi langkah positif - Nancy
Nancy berkata kejayaan gelembung pelancongan Langkawi sangat penting dalam usaha kementeriannya merancakkan kembali sektor pelancongan negara yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Pelancongan adalah sektor yang telah menyumbang 15.9 peratus kepada KDNK pada 2019. Kami mahu kembali pada tahun itu. Tetapi ia memerlukan komitmen semua pihak bukan hanya kerajaan, tetapi setiap kita yang nak merasai nikmat seperti sebelum," katanya.
Dalam sidang media sama, Muhammad Sanusi pula berkata pelancong yang dikesan positif COVID-19 sebaik tiba di pulau peranginan itu akan terus dibawa ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sebelum diminta menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.
Menurut beliau Langkawi sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) di Lapangsasar Antarabangsa Langkawi Malasyia (LISRAM) telah dibuka untuk tujuan tersebut.
"Anggota pasukan keselamatan daripada pelbagai agensi dan kakitangan Kementerian Kesihatan juga adalah mencukupi bagi memantau kemasukan pelancong sebaik mereka tiba di lapangan terbang atau terminal feri," katanya.
-- BERNAMA
#MOTAC #Langkawi #pelancong domestik #Nancy Shukri
;