MOTAC saran petugas imigresen KLIA ditambah
Bernama
Januari 23, 2023 04:40 MYT
Januari 23, 2023 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyarankan supaya jumlah petugas di kaunter imigresen ditambah, selain memperluaskan penggunaan sistem pengecaman wajah bagi meningkatkan kecekapan prosedur pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri berkenaan Datuk Seri Tiong King Sing berkata usaha itu penting bagi mengatasi masalah tempoh menunggu lama berikutan bilangan pelancong ke Malaysia semakin meningkat.
"Sistem pengecaman wajah yang digunakan Jabatan Imigresen juga perlu diperluas kepada semua pelawat antarabangsa, bukan sahaja terhad kepada mereka yang mempunyai pas jangka panjang bagi memudahkan proses pelepasan.
"Jika Malaysia ingin mengalu-alukan kedatangan pelancong dan menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan yang berdaya saing, kita perlu menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut kenyataan itu Tiong meninjau proses ketibaan pelancong di KLIA dan mendapati pelancong terpaksa beratur panjang malah menunggu hampir dua jam bagi pemeriksaan imigresen.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pihak berkuasa KLIA untuk menempatkan petugas yang mempunyai kemahiran pelbagai bahasa bagi membantu memudahkan pelancong ketika melalui prosedur pemeriksaan imigresen.
-- BERNAMA