MOTAC, Royal Selangor jalin kerjasama strategik martabatkan industri kraf negara
Bernama
Ogos 10, 2023 05:00 MYT
Ogos 10, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia dan Royal Selangor International Sdn Bhd menandantangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan melaksanakan kerjasama strategik dua hala melalui inisiatif yang merangkumi aspek pembangunan produk, pemasaran dan promosi serta latihan.
Menurut kenyataan MOTAC pada Khamis, memorandum tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli dan Pengarah Urusan Royal Selangor International Sdn Bhd, Yong Yoon Li.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan serta Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman.
"Pada majlis yang sama, Royal Selangor turut mengadakan pelancaran koleksi produk baharu Heritage Royal Selangor yang beridentitikan Malaysia selain aktiviti demonstrasi kraf ukiran kayu, batik lukis, anyaman rotan, tenunan songket dan seramik oleh pelajar-pelajar Institut Kraf Negara sebagai pengisian aktiviti di Royal Selangor Visitor Centre yang bermula 10 Ogos sehingga 17 Sept 2023," menurut kenyataan itu.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Mohd Yusri Mohd Yusoff; Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Dr Tan Awang Besar serta Pengarah Eksekutif Royal Selangor Marketing Sdn Bhd, Chen Tien Yue. - BERNAMA