MOTAC rancang tubuh task force, tangani isu perniagaan dijalankan warga asing
Bernama
November 6, 2024 23:00 MYT
November 6, 2024 23:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merancang untuk menubuhkan task force (pasukan petugas khas) bagi menangani isu perniagaan dan pengangkutan termasuk agensi pelancongan yang diusahakan oleh warga asing.
Menteri berkenaan Datuk Seri Tiong King Sing berkata task force yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri itu juga akan membanteras kegiatan sewaan lesen perniagaan oleh warga tempatan kepada warga asing.
Beliau berkata task force tersebut akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan agensi-agensi yang berkaitan.
"Isu pembukaan perniagaan oleh warga China di Semporna berkaitan dengan penyalahgunaan visa. Ahli Parlimen Semporna (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) telah beberapa kali menyampaikan perkara ini kepada saya, dan MOTAC telah memaklumkannya kepada Pejabat Imigresen Daerah Semporna untuk tindakan segera.
"MOTAC juga menggesa tindakan tegas dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Keselamatan Pelancong Daerah Semporna," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi MOTAC pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 61 warga asing dari China dan Filipina yang bekerja secara haram di pusat peranginan dan pulau sekitar Semporna.
Sementara itu, Tiong berkata pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah perjawatan serta memisahkan fungsi pelesenan dan penguatkuasaan di peringkat ibu pejabat dan negeri.
"Sebagai langkah sementara, pegawai kontrak akan dilantik bagi urusan penguatkuasaan. Usaha ini diharapkan dapat memperkukuh penguatkuasaan dan melindungi kepentingan perniagaan tempatan," katanya.
Mengulas mengenai Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, Ahli Parlimen Bintulu itu berkata MOTAC telah menubuhkan sembilan jawatankuasa kerja yang melibatkan pelbagai kementerian, jabatan, dan penggiat industri bagi memperkukuhkan kerjasama strategik.
"Penubuhan jawatankuasa ini melibatkan enam kluster utama, iaitu pengangkutan darat, pengangkutan udara, persatuan pelancongan, pelancongan minat khas, penginapan, dan kebudayaan," katanya.
Beliau berkata MOTAC turut melaksanakan inisiatif Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) untuk mengiktiraf produk pelancongan berkualiti, bertujuan meningkatkan keyakinan dan pengalaman pelancong.
"Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, MOTAC akan menawarkan kursus Mesra Malaysia bagi melatih tenaga kerja sektor pelancongan, khususnya barisan hadapan, agar mereka mempunyai kemahiran hospitaliti yang tinggi dan bersikap mesra pelancong," katanya.
Selain itu, Tiong berkata sebanyak 9,657 pemandu pelancong telah dilatih dan dilesenkan oleh MOTAC melalui pelbagai kursus kerjaya seperti Kursus Asas Pemandu Pelancong Bandar, Kursus Regional Specific Tourist Guide Sabah dan Sarawak, serta Kursus Hos Komuniti Setempat (HKS).
-- BERNAMA