MOTAC perkasa inap desa, tingkat kemahiran pengusaha

Bernama
Mac 12, 2025 20:56 MYT
Khairul Firdaus Akbar Khan berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi kursus Refresher Homestay yang bermula Februari lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited memperkasa komuniti inap desa dengan meningkatkan kemahiran pengusaha melalui bantuan pembangunan kapasiti khususnya dalam program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM).
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi kursus Refresher Homestay yang bermula Februari lepas.
"Pelaksanaan kursus ini dijangka dapat meningkatkan standard perkhidmatan industri inap desa agar lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.
"Ia juga bertujuan memperkasakan industri pelancongan melalui latihan dan sokongan kepada penggiat industri, termasuk syarikat pengendali pelancongan dan pemandu pelancong," katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu berkata sebanyak 202 aktiviti penyahutanan dikesan setakat ini melibatkan kawasan seluas 8,000 hektar di Semenanjung Malaysia.
Beliau menegaskan kepentingan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negari dalam memantau aktiviti pembalakan dan pencerobohan hutan termasuk menerusi jawatankuasa khas serta operasi pemantauan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dalam sesi penggulungan bagi kementeriannya, mengumumkan sebanyak 27 program pembudayaan keusahawanan akan dilaksanakan tahun ini di bawah perancangan strategik kementerian bagi 2025.
Antara program tersebut termasuk Program Jelajah Keusahawanan Bersasar (JKEB), seminar dan program keusahawanan bersama graduan di bawah PROTEGE, serta program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp.
Selain itu, turut disenaraikan ialah Seminar Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Penjaja dan Peniaga Kecil, Kembara Pemerkasaan Usahawan Bank Rakyat, dan INSKEN Business Outreach, katanya.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA
#Dewan Negara #MOTAC #PROTEGE #JKEB
;