MOTAC pandang serius dakwaan pasang kamera tersembunyi di inap desa Sabah - Tiong
Bernama
September 24, 2023 09:50 MYT
September 24, 2023 09:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memandang serius dakwaan pelancong asing, yang mendakwa sebuah inap desa yang didiaminya di Sabah telah dipasang dengan kamera tersembunyi.
Menteri berkenaan Datuk Seri Tiong King Sing berkata Kerajaan Negeri Sabah, MOTAC Sabah dan agensi berkaitan, telah diminta mengambil tindakan serius dan sewajarnya terhadap dakwaan yang didedahkan di sebuah platform media sosial Xiaohongshu, yang berpangkalan di Shanghai pada 14 Sept lepas dan kemudiannya diulang siar oleh portal berita tempatan.
"Hukuman tegas dan setimpal wajar dikenakan kepada mana-mana pihak yang terbukti bersalah, kerana perbuatan terkutuk seperti ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang, tetapi juga menjejaskan imej industri pelancongan negara.
"Saya mengingatkan kepada semua pengusaha homestay atau pemilik yang berdaftar di bawah MOTAC dan memperolehi penggredan daripada MOTAC, sekiranya didapati melanggar undang-undang dan disabit bersalah, MOTAC akan ambil tindakan tegas seperti membatalkan pendaftaran dan menarik balik penggredan mereka," katanya dalam kenyataan di Facebook di sini hari ini.
Tiong turut mengingatkan kepada semua pengusaha inap desa atau pemilik yang berdaftar di bawah Airbnb, supaya mengambil perhatian serius terhadap disiplin serta memeriksa latar belakang pekerja masing-masing.
"Tidak dinafikan perkara seperti ini mungkin terjadi disebabkan perbuatan peribadi, yang dilakukan oleh para pekerja inap desa atau Airbnb yang tidak bertanggungjawab. MOTAC tidak akan berkompromi terhadap kejadian seperti ini dan akan terus membuat pemantuan dari semasa ke semasa," katanya.
-- BERNAMA