MOTAC lancar kempen Safe2Spa Jom Spa hingga 31 Mac

Bernama
Disember 22, 2020 05:51 MYT
Menurut MOTAC, para pelanggan layak menebus atau menikmati potongan diskaun sebanyak RM30 dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM60 ringgit dan ke atas dalam satu resit transaksi. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan Kempen Safe2Spa Jom Spa, bermula hari ini sehingga 31 Mac 2021 sebagai usaha memulihkan dan merancakkan semula industri spa tempatan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
MOTAC dalam satu kenyataan menyatakan, sebanyak 10,000 baucar diskaun bernilai RM30 setiap satu akan diedarkan kepada pelanggan di semua spa serta pusat urut kaki di bawah seliaan Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) dan Persatuan Kesihatan dan Spa Malaysia (MAWSPA), sempena kempen tersebut.
"Para pelanggan layak menebus atau menikmati potongan diskaun sebanyak RM30 dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM60 dan ke atas dalam satu resit transaksi," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kenyataan itu menyebut, sekiranya usaha tersebut berjaya mencapai matlamatnya, kementerian akan terus memberi suntikan agar industri spa terus dapat diperkasakan.
Pada masa yang sama, MOTAC menyeru semua pengusaha industri spa dan kesihatan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sentiasa mempraktikkan pendekatan norma baharu.
-- BERNAMA
#Majlis Keselamatan Negara #MKN #MOTAC #Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya #industri spa tempatan #pelancongan #kesihatan #operasi #pandemik #COVID-19
;