MOTAC jalankan penyelidikan perkukuh garis panduan industri pelancongan

Bernama
September 25, 2023 23:44 MYT
Perbincangan itu termasuk berkemungkinan merancang beberapa kawasan khas sebagai penginapan pelancong serta merangka pelan dan garis panduan yang ketat. - Gambar fail/FB MOTAC
KUALA LUMPUR: Satu penyelidikan bagi memperkukuhkan lagi penyeragaman industri pelancongan, termasuk menambah baik garis panduan keselamatan penginapan yang lapuk, sedang dijalankan untuk memberi lebih perlindungan kepada pelancong dan pemain industri.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu bertujuan membangunkan industri pelancongan yang mampan memandangkan ia merupakan salah satu kuasa utama dalam ekonomi negara.
"Ketika ini, kebanyakan tempat penginapan memiliki perlindungan insurans seperti kebakaran dan seumpamanya. Namun, ada juga pengusaha tempat penginapan tidak dilindungi insurans, sekali gus mengundang risiko bukan sahaja kepada pengusaha tersebut, tetapi juga kepada pengunjung atau pelancong yang menginap di premis mereka.
Memandangkan industri pelancongan semakin berkembang, maka hal berkaitan perlindungan insurans perlu dipandang serius. Oleh itu, garis panduan baharu ini kelak akan memperincikan hala tuju jelas kepada pengusaha industri pelancongan dan pelanggan mereka, sekali gus melindungi keselamatan serta kepentingan kedua-dua pihak," menurut kenyataan itu.
MOTAC memaklumkan sebelum ini, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (BPPP) serta jabatan terlibat yang lain diarahkan untuk menjalankan penyelidikan secara mendalam, termasuk kajian semula secara komprehensif bagi Garis Panduan Penginapan Sewaan Jangka Pendek (STRA).
Kenyataan itu turut memaklumkan Ketua Setiausaha MOTAC akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mencari penyelesaian bagi memastikan pemain industri mematuhi peraturan dan keperluan yang ditetapkan.
Perbincangan itu termasuk berkemungkinan merancang beberapa kawasan khas sebagai penginapan pelancong serta merangka pelan dan garis panduan yang ketat.
"Mengambil kira aduan orang ramai dan beberapa masalah dihadapi pelancong berhubung penginapan mereka, ini merupakan masa yang tepat untuk memastikan platform, khususnya Airbnb, didaftarkan secara sah sekali gus mematuhi garis panduan dan peraturan berkaitan.
Ini kerana platform itu dilihat mempunyai potensi terhadap wujudnya konflik di antara pelancong dan penduduk setempat semasa tempoh penginapan mereka. Konflik ini juga boleh tercetus ekoran terdapat perbezaan waktu istirehat penduduk dengan pelancong," menurut MOTAC.
-- BERNAMA
#MOTAC #KPKT #STRA #Airbnb
;