MOTAC hargai keputusan Tun Mahathir lencongkan ECRL dari PKGS
Astro Awani
April 21, 2019 16:25 MYT
April 21, 2019 16:25 MYT
Datuk Mohamaddin Ketapi menghargai keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengetengahkan konsep mesra alam dengan melencongkan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mengekalkan warisan geologi dan semulajadi Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS).
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu, tapak berkenaan merupakan Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan 1 (Bukit Batu Tabur) yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal di bawah Seksyen 10 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 sebagai Taman Negeri.
"PKGS adalah tapak warisan geologi semulajadi dan Dr Mahathir telah mengambil kira warisan permatang kuarza terpanjang di dunia itu.
"Permukaan tanah sepanjang 14 kilometer terpanjang di dunia itu telah mencecah jutaan tahun usia batuannya dan memiliki nilai saintifik serta nilai landskap semula jadi yang sangat luar biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan sedang dalam usaha mengangkat PKGS sebagai salah sebuah tapak warisan kebangsaan.
"Suka saya menjelaskan di sini bahawa PKGS kini sedang dalam proses pewartaan sebagai Tapak Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) yang melibatkan sebanyak 210 lot tanah.
"Selain itu, MOTAC juga telah menghantar dokumen PKGS dalam Senarai Tentatif kepada UNESCO sebelum ini bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia," tambahnya.
Justeru, Mohamaddin berharap pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan serta agensi kerajaan lain bekerjasama untuk memulihara, memelihara dan melindungi kawasan ini supaya boleh menjadi salah satu ikon dan destinasi pelancongan terpenting di Selangor.
"Dengan pewartaan itu nanti, Malaysia akan lebih megah dengan kepelbagaian produk yang tidak hanya berunsurkan produk pelancongan seperti pantai-pantai dan pulau-pulau, malah tapak warisan dunia. Ini adalah satu kebanggaan buat negara," ujarnya.
#ECRL
#Hutan Simpan Hulu Gombak
#Hutan Simpan Kekal
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#mesra alam
#Pantai Timur
#pelancongan
#Perdana Menteri
#Permatang Kuarza Gombak Selangor
#PKGS
#Taman Negeri
#tapak warisan
#Unesco
#Warisan