MOTAC giat jalankan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026

Nursyazwani Saiful Sham
Julai 24, 2024 20:13 MYT
Roslan berkata, MOTAC dengan kerjasama Tourism Malaysia juga telah menyesuaikan produk pelancongan mengikut segmen khusus. - Foto: MOTAC
KUALA LUMPUR : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Tourism Malaysia giat menjalankan promosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di peringkat antarabangsa dan tempatan melalui pelbagai platform digital dan tradisional.
Menurut Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman, kementerian tersebut turut bekerjasama bekerjasama dengan rakan-rakan industri yang lain seperti pengusaha hotel dan resort, agensi pelancongan serta sektor swasta dalam menghasilkan pakej pelancongan yang menarik dan berkualiti selaras dengan kempen tersebut.
“MOTAC dengan kerjasama Tourism Malaysia juga telah menyesuaikan produk pelancongan mengikut segmen khusus seperti ekopelancongan, kebudayaan dan warisan, keluarga dan rekreasi serta pelancongan kesihatan.
“Tiga strategi teras merangkumi kewujudan permintaan, meningkatkan trafik dan mengutamakan pasaran sasaran. Pemain industri perlu bergiat aktif dalam program yang berimpak tinggi serta mencapai matlamat bersama dalam menarik 35.6 juta pelancong dan menjana RM147.1 bilion resit untuk TMM2026.
“Pembangunan akses infrastruktur secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada penduduk tempatan kerana dibaik pulih demi memastikan acara yang dijalankan berkualiti,” katanya dalam Agenda AWANI baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan penglibatan pempengaruh tempatan dalam mempromosikan keunikan tempat-tempat menarik di Malaysia mampu menarik minat pelancong domestik untuk melancong di dalam negara.
“Produk pelancongan haruslah disesuaikan mengikut tematik yang bersesuaian dengan minat dan permintaan pelancong domestik seperti eko-pelancongan, kebudayaan serta warisan tempatan.
“MOTAC perlu menggesa agensi pelancongan yang terlibat untuk menaik taraf dan menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan yang sedia ada dan memperkenalkan produk pelancongan yang baharu yang bertaraf premium supaya data menarik lebih ramai pelancong,” ujarnya.
Selain itu, katanya, semua jabatan dan agensi di bawah MOTAC akan berganding bahu bersama para penggiat seni di semua peringkat termasuk kerjasama bersama agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan dalam mengangkat agenda seni, budaya dan warisan negara.
#pelancongan #MOTAC #kempen #tahun melawat malaysia #Tourism Malaysia
;