MOTAC cadang lancar pakej Pelancongan Mesra Muslim
Bernama
Oktober 12, 2023 23:41 MYT
Oktober 12, 2023 23:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang melancarkan pakej Pelancongan Mesra Muslim seawal bulan depan bagi menarik lebih ramai pelancong Muslim ke negara ini khususnya dari Timur Tengah dan China yang mempunyai demografi penduduk Islam yang besar.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing berkata pihaknya dan Pusat Pelancongan Islam (ITC) akan membuat perancangan segera berhubung perkara itu serta yakin langkah ini mampu dicapai melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang melakukan pemasaran di Asia, Timur Tengah dan Eropah.
"MOTAC juga memohon agar pihak yang terlibat mengadakan kursus dan latihan bulan ini menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 200 peserta untuk mendapatkan sijil berkaitan," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata kursus itu bertujuan memberi pendedahan kepada pemain industri mengenai pasaran pelancongan Muslim yang memerlukan perhatian dalam menentukan pakej bersesuaian dan kompetitif untuk dijual di pasaran berkaitan.
Katanya MOTAC juga bersedia menjalin kerjasama bagi membangunkan pakej mewah yang kreatif serta menarik seperti pelancongan golf dan perubatan.
Terdahulu, Tiong mengadakan pertemuan antaranya dengan Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA).
Pada pertemuan itu, beberapa perkara dibincangkan termasuk kaedah memperhebat promosi di peringkat antarabangsa, membangunkan pasaran mesra Muslim, mewujudkan konsensus industri serta memberikan subsidi dan bantuan kepada pengusaha pelancongan.
-- BERNAMA