MOTAC adakan perbincangan lanjut berkaitan cadangan perluas gelembung perjalanan
Bernama
Februari 25, 2021 04:27 MYT
Februari 25, 2021 04:27 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan memperluas gelembung perjalanan dengan negara zon hijau semasa penularan pandemik COVID-19 adalah tertakluk kepada persetujuan pelbagai pihak, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Gelembung Perjalanan yang dicadangkan kementerian itu memerlukan persetujuan dua hala antara negara luar yang terlibat selain Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negara.
"MOTAC sedang memohon pelanjutan tempoh pelaksanaan program insentif sekali beri di bawah Program Gelembung Perjalanan Domestik sehingga bulan Disember 2021 dengan kementerian berkaitan," menurutnya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Nancy mengadakan sesi libat urus bersama industri penerbangan dan industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta acara perniagaan pada Khamis.
Antara lima negara yang dicadangkan ialah Brunei, Korea Selatan, New Zealand, Australia dan Jepun.
Dalam pertemuan itu, kesemua pemegang taruh yang mewakili MICE rata-rata meminta kerajaan membenarkan semula pergerakan serta perjalanan rentas daerah atau negeri dan pengunjung yang mengemukakan bukti telah divaksin tidak dikuarantin.
-- BERNAMA
#MOTAC
#gelembung perjalanan
#Laluan Hijau Timbal Balik
#RGL
#Nancy Shukri
#COVID-19
#Australia
#New Zealand
#Korea Selatan