MOT umum lima penambahbaikan sempena Thaipusam 2024
Zikry Halim
Januari 13, 2024 11:10 MYT
Januari 13, 2024 11:10 MYT
GOMBAK: Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook umum lima penambahbaikan pergerakan sempena Thaipusam 2024 yang akan disambut pada 25 Januari di seluruh Malaysia.
Antara penambahbaikan yang dibuat termasuk perkhidmatan tren tambahan KTM Komuter 24 jam 4 hari 3 malam, tambang percuma penumpang KTM Komuter Lembah Klang, Perkhidmatan ETS Tambahan Butterworth-KL Sentral dan Padang Besar-KL Sentral.
Selain itu turut diumumkan perkhidmatan percuma bas-bas perantara Rapid Bus di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang selain usaha membaik pulih Jejantas Pejalan Kaki di Stesen Keretapi Batu Caves yang dilaksanakan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC).
“Selepas pengumuman inistiatif pengangkutan awam tambahan Tahun Baru Cina semalam, hari ini saya melawat Batu Caves buat kali pertama untuk meninjau keadaan pergerakan Thaipusam yang melibatkan ratusan ribu penganut agama Hindu, pelancong dan orang awam setiap tahun.
“Ia adalah untuk meraikan kemajmukan masyarakat Malaysia, Kementerian Pengangkutan akan berusaha untuk memudahkan pergerakan orang ramai dalam menyambut perayaan,” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media penambahbaikan pergerakan orang ramai sempena sambutan Thaipusam 2024 di Stesen KTM Komuter Batu Caves.