MOT sasar 40,000 pemandu teksi dilindungi Perkeso tahun ini - Loke

Bernama
Januari 30, 2024 23:49 MYT
Loke berkata inisiatif itu juga bagi menjaga kebajikan pemandu teksi yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas dan veteran Angkatan Tentera. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menyasarkan 40,000 pemandu teksi di negara ini diberi perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usaha meningkatkan jaringan keselamatan sosial buat golongan ini.
Menterinya Anthony Loke berkata inisiatif itu juga bagi menjaga kebajikan pemandu teksi yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas dan veteran Angkatan Tentera.
"Mereka ini kalau ikutkan tiada perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau PERKESO...kalau jadi apa-apa pada mereka, sekurang-kurangnya inisiatif yang kami berikan ini dapat beri perlindungan kepada golongan ini.
"Inisiatif ini adalah antara usaha kami untuk bantu rakyat dengan hasil kutipan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) selama ini yang manfaatnya diberikan semula kepada rakyat," katanya pada sidang media NPI hari ini.
Loke bagaimanapun berkata perincian mengenai skim caruman tersebut hanya akan diumumkan selepas memperoleh kutipan hasil bidaan NPI bagi siri GOLD yang akan berakhir pada 5 Feb.
"Kami sudah ada angka dan kami juga tahu implikasi kewangan yang bakal terlibat...perinciannya akan diumumkan selepas bidaan siri GOLD selesai," katanya.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata tunggakan pengeluaran lesen memandu akan ditangani segera dan perinciannya akan dimaklumkan kelak.
"Kami memang tahu ada banyak kes tunggakan lesen memandu, kami akan tanganinya dan percepatkan proses itu...dan kami sudah ada perbincangan dan antara pendekatannya ialah E-Testing yang akan diumumkan selepas Tahun Baharu Cina.
"Kami juga akan beri insentif untuk percepatkan proses ini, saya tidak mahu umumkan dahulu, ada sedikit perincian kena buat, selepas Tahun Baharu Cina saya akan turun ke satu akademi memandu dan kami akan beri perincian," katanya.
-- BERNAMA
#KWSP #akademi memandu #e-testing #Gold
;