MOT perlu tangani isu kenaikan harga tiket musim perayaan - Hajiji

Alexion Mairin
April 13, 2022 19:15 MYT
Tambah Hajiji isu harga tiket penerbangan mahal itu juga telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet negeri hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia berbincang dengan syarikat penerbangan berhubung isu tambang penerbangan yang tinggi.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata tambang penerbangan yang tinggi itu memberikan kesan kepada pengguna khususnya bagi laluan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur.
"Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) menggesa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan untuk melihat perkara tersebut agar pengurangan tambang penerbangan domestik dapat dilakukan.
"Tambang terbabit cukup membebankan pengguna. Ia seakan tidak selari dengan aspirasi untuk membawa masuk lebih ramai pelancong datang ke negeri ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Hajiji isu harga tiket penerbangan mahal itu juga telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet negeri hari ini.
"Kerajaan negeri memandang serius isu kenaikan harga tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Kita mahu Kementerian Pengangkutan melihat isu ini dan penurunan harga tambang dapat dibuat segera," tambahnya.
Sebelum ini dilaporkan harga tambang penerbangan telah meningkat sebanyak 566 peratus berbanding tambang yang ditawarkan di luar tempoh perayaan.
Laluan penerbangan bagi Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau didakwa lebih mahal dari tambang penerbangan antarabangsa.
#Isu tiket mahal #Kementerian Pengangkutan #Hajiji Noor #turunkan harga tiket
;