MOT, MAVCOM, MAHB sedia pertimbang permohonan tambah frekuensi penerbangan

Hafizi Rosli
April 15, 2022 12:43 MYT
WEE KA SIONG: MOT akan berusaha sedaya upaya untuk menurunkan tambang penerbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan.
Jelas Menteri Pengangkutan (MOT), Datuk Seri Wee Ka Siong, ia juga termasuk pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Ka Sion turut memaklumkan, CAAM turut meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan.
Ia sebagai langkah bagi membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan.
Usaha ini jelasnya sebagai langkah untuk menangani isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan ini.
Kenaikan harga tambang ini katanya disebabkan oleh peningkatan kos operasi terutamanya kenaikan harga bahan api.
Mekanisme penetapan harga dinaik juga menggunakan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) dalam proses menentukan harga tambang, bukan secara manual untuk menaikkan harga seperti yang didakwa.
Ia juga ditambah dengan masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik COVID-19.
Namun jelasnya, MOT akan berusaha sedaya upaya untuk menurunkan tambang penerbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.
MOT melalui MAVCOM akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan semua syarikat penerbangan dalam tempoh terdekat.
#MAHB #penerbangan #mavcom #Wee Ka Siong
;