MOT, Kesuma taja 50,000 pekerja sendiri melalui SKSPS

Ridauddin Daud
Mac 13, 2024 16:05 MYT
Anthony berkata, tajaan penuh itu melibatkan 35,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia akan menaja 50,000 pekerja sendiri melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tajaan penuh itu melibatkan 35,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah.
Menurutnya, perlindungan itu adalah kepada keluarga pemandu kerana setiap kali berlaku kemalangan, yang menjadi mangsanya ialah keluarga mereka.
Katanya lagi, caruman itu tidak menambah beban kepada pemandu kerana kosnya ditanggung kerajaan.
"Jadi ini tidak menambah beban kepada pemandu. Pemandu tiada apa-apa tambahan kos kepada mereka tetapi tambahan perlindungan kepada mereka.
"Itu yang kita mulakan dulu supaya bagi kesedaran kepada pemandu betapa pentingnya perlindungan insurans ini, pentingnya Perkeso ini.
"Ini supaya mereka ada kesedaran dan kita harap lama-kelamaan kesedaran ini sampai kepada semua orang kerana apa yang penting, mereka juga ada tanggungjawab untuk melindungi mereka dan keluarga mereka," katanya.
Mengambil contoh kemalangan udara di Elmina pada tahun lepas, menurut Anthony, salah seorang mangsa yang maut mencarum dalam skim tersebut.
Disebabkan itu, Pertubuhan Kebajikan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat membiayai keluarga mereka setiap bulan, seumur hidup mereka.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah kementerian akan mewajibkan semua pekerja sendiri mencarum SKSPS, beliau menegaskan setakat ini, ia belum diwajibkan.
“Memang dasar-dasar ini kita akan perhalusi dari semasa ke semasa tapi setakat ini, kita belum wajibkan.
“Pertamanya, kita tahu sektor gig ini, ia bersifat sementara tapi dasar-dasar ini kita akan lihat dari semasa ke semasa dan kita akan putuskan.
“Kita akan ada Suruhanjaya Gig dilaksanakan untuk kita lihat bagaimana syarat-syarat kepada perkara ini dapat ditambah baik tapi buat sementara ini, kita belum ada syarat tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso di Putrajaya pada Rabu.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
#Anthony Loke #Steven Sim #Menteri Pengangkutan #SKSPS
;