MOT, Kementerian Wilayah Persekutuan cari penyelesaian siapkan projek Jambatan Gantung Monorel Putrajaya

Astro Awani
April 18, 2022 22:26 MYT
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, Ka Siong turut memaklumkan perkembangan terkini projek pengangkutan awam termasuklah Projek ECRL, RTS, MRT 2 dan 3. - Gambar FB Wee Ka Siong
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Wilayah Persekutuan sedang berusaha mencari penyelesaian untuk menyiapkan Projek Jambatan Gantung Monorel Putrajaya yang terbengkalai sekian lama.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan perkara tersebut kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin.
Menurut Ka Siong, pihaknya dan Kementerian Wilayah Persekutuan akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam usaha menyiapkan projek tersebut.
Jelas beliau, isu projek yang terbengkalai itu dibangkitkan oleh Dr Mahathir dalam satu pertemuan di Yayasan Perdana pada Isnin.
"Tun Mahathir membangkitkan mengenai projek Jambatan Gantung Monorel Putrajaya serta terowong yang terbengkalai dan 'menyakitkan mata' kerana tiada sebarang perkembangan.
"Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tun Mahathir di atas pandangan dan input yang dikongsikan oleh beliau tentang bagaimana kita boleh membangunkan infrastruktur sedia ada dan memanfaatkannya untuk kemudahan penduduk yang bekerja dan tinggal di kawasan ini.
"Saya memaklumkan kepada Tun Mahathir bahawa secara kebetulan MOT bersama-sama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan sedang berusaha mencari penyelesaian untuk menyiapkan kerja pembangunan infrastruktur rel yang terbengkalai ini dengan penyertaan sektor swasta," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, Ka Siong turut memaklumkan perkembangan terkini projek pengangkutan awam termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS), Laluan Transit Aliran Massa (MRT) 2 dan 3.
Selain itu, Presiden MCA itu juga merakamkan penghargaan terhadap Dr Mahathir atas jasanya membangunkan Kolej Tunku Abdul Rahman yang kini dinaik taraf dan dikenali sebagai Universiti Pengurusan Dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).
#Mahathir Mohamad #Wee Ka Siong #Perdana Menteri #Menteri Pengangkutan #Projek Jambatan Gantung Monorel Putrajaya
;