MOT gantung 247 lesen pengendali kenderaan
Faida Rahim
Februari 26, 2025 10:50 MYT
Februari 26, 2025 10:50 MYT
Apabila lesen pengendali sesebuah syarikat digantung atau dibatalkan, semua kenderaan yang berdaftar di bawah syarikat tersebut tidak boleh beroperasi, kata Anthony. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Sejumlah 247 lesen pengendali telah digantung pada tahun 2024 berbanding 101 pada 2023 dan 94 (2022) manakala hanya lapan lesen pengendali digantung antara 2019 dan 2021.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah menggantung 23 Permit Kenderaan pada tahun 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya.
"Tempoh penggantungan boleh sampai 90 hari untuk ketidakpatuhan yang serius. Selain itu, MOT melalui APAD juga telah membatalkan tujuh Lesen Pengendali antara 2022 sehingga 2024 berbanding tiada pembatalan antara 2019 dan 2021.
"Apabila lesen pengendali sesebuah syarikat digantung atau dibatalkan, semua kenderaan yang berdaftar di bawah syarikat tersebut tidak boleh beroperasi," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Shamshulkahar bin Mohd Deli (Jempol) mengenai tindakan tegas Kementerian dalam usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat
terutamanya lori di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, antara syarikat yang Lesen Pengendalinya telah digantung termasuk sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih daripada 1,000 kenderaan.
Jelasnya lagi, seperti yang telah dilaporkan oleh media, syarikat tersebut terpaksa membuat pengumuman di Bursa Malaysia berkenaan tindakan penggantungan oleh APAD kerana terdapat implikasi serius ke atas operasinya.