MOT bincang untuk sediakan pakej khas penerbangan untuk pelajar

Bernama
Mac 9, 2023 13:15 MYT
Loke berkata Kementerian Pengangkutan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat penerbangan, untuk menambah laluan penerbangan berdasarkan kepada pertimbangan komersial. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan, untuk menyediakan tambang yang lebih murah kepada pelajar terutama ke Sabah dan Sarawak
Menterinya Anthony Loke berkata setakat ini, hanya Malaysia Airlines (MAS) yang menawarkan diskaun 30 peratus daripada harga tiket penerbangan, kepada pelajar yang berdaftar dengan program itu.
"Antara manfaat lain yang ditawarkan menerusi program itu termasuk seperti elaun bagasi tambahan 10 kilogram, serta tawaran khas kepada ahli keluarga serta rakan-rakan pelajar.
"Untuk syarikat penerbangan lain, kita akan cuba bincangkan (pakej murah untuk pelajar)," katanya pada pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan), yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia menawarkan pakej-pakej penerbangan dengan harga yang berpatutan kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak, semasa cuti semester.
Pada masa yang sama, MOT melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan terus memantau harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik, termasuk laluan-laluan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah.
Dalam hubungan itu terdapat juga syarikat yang melaksanakan inisiatif khas bagi menawarkan tiket penerbangan pada harga yang rendah, sebagai contoh, AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) telah menyediakan 52 penerbangan tambahan pada tambang rendah dari 17 hingga 30 Jan tahun ini, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, Loke berkata Kementerian Pengangkutan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat penerbangan, untuk menambah laluan penerbangan berdasarkan kepada pertimbangan komersial.
Beliau berkata syarikat penerbangan kebiasannya akan berbuat demikian, sekiranya terdapat kapasiti dan permintaan pasaran yang tinggi untuk ke destinasi yang berkenaan.
"...tetapi saya faham kadang-kala perlu ada insentif. Justeru kerajaan negeri yang sudah tentu ada Jawatankuasa Bertindak Pelancongan boleh memberikan sedikit insentif kepada syarikat penerbangan ini, supaya mereka ada laluan penerbangan terus dari destinasi baharu seperti Pulau Pinang ke Terengganu atau Pulau Pinang ke Kota Bharu," katanya.
Loke mengemukakan jawapan itu kepada soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar), yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk menambah penerbangan dari pantai barat ke pantai timur.
-- BERNAMA
#diskaun #pakej khas #penerbangan #pelajar #Anthony Loke
;